Tuesday, June 02, 2009

Menjadi yang baik-baik sahaja

Saat penghijrahan itu sudah tiba dan Alhamdulillah, nikmat yang Allah beri tidak pernah surut. Menjadi hamba sekerdilnya di depan Dia, berita besar yang aku terima semalam (kelmarin) adalah yang terbaik untuk manusia seburuk aku. Subhanallah.

Putus asa pantas saja menjadi keputusan aku bila bingung. Saat aku mencari suara siapa berkumandang dalam diri menyuruh aku ikut hati, akal mengarah aku supaya idle sejenak dan renung jauh ke jasad, apa yang aku mahu dalam hidup ini.

Bila aku separuh gila meraung, kemahuan yang datang itu macam-macam. Bila sudah letih menjerit dan terjelepuk di lantai realiti, aku tahu yang aku mahu hanya yang satu-satu itulah: bahagia.

Tidak susah jadi bahagia kalau hati tenang. Kalau hati putih bersih, murni macam Mr Zero. Bahagia yang ada dalam aku adalah berkat doa mak yang tak putus-putus, yang dalam tadahan tangannya memohon agar aku sentiasa dilorongi jalan yang lurus (dan betul), dan kejayaan berganda dalam apa sahaja yang aku mahu.

Aku tahu aku di sini kerana Allah menerima doa ibuku yang berhati mulia. Bayangkan jika dia sudah tiada, siapalah yang akan bersedih dan menadah tangan memohon kebahagiaan untuk aku lagi?

Aku benar-benar tidak boleh berdiri seteguh ini lagi tanpa tadahan tangan yang mulus sifatnya itu!