Friday, October 16, 2009

Kata

Saya terlampau banyak kata yang hendak dituliskan. Tetapi buat masa ini tidak ada. Sila tatapi pandangan peribadi tidak berapa genius saya yang telah terpapar di Sinar Harian.

Sekadar koleksi (2)

Yarni, mi segera, dan 700 taka anak Bangladesh

Pesan ibu saya, kalau rasa diri dihimpit musibah maha hebat dan diuji sampai tahap ingin pergi ke pinggir gunung dan menjerit, maka ingatlah, ada lagi orang yang sangat dan jauh lebih susah malah menderita. Namun mereka masih pasrah kepada ketentuan Allah SWT, lalu memanjatkan doa dan melangkah tegas teruskan kehidupan.

Lantas, apalah sangat ujian yang terpaksa saya harungi jika hendak dibandingkan dengan nasib rakan sebaya di Padang, Yarni Daharudin. Sesekali apabila bekalan elektrik atau air di apartmen tempat saya tinggal tiba-tiba terputus, saya dengan pantas mengeji bahagian pentadbiran yang tidak cekap, sambil merungut-rungut kasar terpaksa lewat ke tempat kerja.

Jika saya di tempat Yarni, jangankan hendak menikmati bekalan elektrik dan air, dapat menumpang teduh di reban ayam pun sudah syukur, Alhamdulillah!

Benar, anda tidak tersilap baca. Yarni, yang berasal dari Desa Ubadak Air di Pariaman, Padang, adalah antara ratusan (mungkin ribuan) mangsa gempa bumi yang melanda Sumatera Barat tanggal 30 September lepas.

Natijahnya, rumahnya yang rosak teruk tidak dapat didiami lagi, lantas alternatif untuk ibu beranak empat dan bersuamikan pesakit strok ini adalah tinggal di reban ayam. Sepatah katanya, dia dan keluarga lebih rela bergaul dan ‘berbau’ ayam daripada menerima risiko rumahnya runtuh!

Justeru semenjak bencana yang menimpa Padang ini, saya banyak terfikir mengapa masa saya terbuang dengan merasakan diri serba tidak kena dan kurang sempurna. Malah sepatutnya saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana berada di bumi Malaysia yang aman makmur dan selamat sentiasa.

Setakat ini belum ada musibah yang benar-benar menggegarkan jiwa seluruh rakyat. Mungkin tragedi tsunami 26 Disember 2004 lepas memberi sedikit impak, namun secara keseluruhannya kita masih lagi bahagia berada di lokasi yang selamat daripada musibah.

Jika anak kecil anda merengek-rengek sambil menghentak-hentak lantai pusat membeli-belah kerana kempunan hendak makan burger MacDonald’s atau ayam KFC yang rangup, katakan pada mereka, Ana, sahabat seusia di Padang terpaksa berjalan hampir 21 kilometer bersama ibunya sebelum dapat makan sebungkus mi segera. Itupun terpaksa berkongsi dengan abang dan kakak-kakaknya yang lain.

Baru-baru ini saya mendapat kiriman e-mel daripada seorang teman baik yang judul ‘of pains and sacrifices’. Klip video berlatarbelakangkan instrumental lagu Wajah dendangan idola Malaysia, Jac telah banyak membuatkan saya duduk diam selepas itu dan berfikir, betapa saya sangat beruntung.

Kalau ada di anatara kita yang sentiasa merungut dan mencemuh bahagian pentadbiran tempat kerja kerana menurut (kita), gaji yang diterima sedikit atau tidak setimpal dengan tugas berat yang dilakukan, tahulah ada anak-anak kecil di Bangladesh yang terpaksa mengorbankan pelajaran untuk menanggung keluarga dan bekerja di kilang membuat besi.

Dan pendapatan mereka? Untuk waktu kerja bermula 9 pagi hingga 6 petang (waktu kerja kebanyakan kita semua), mereka menerima gaji lumayan sebanyak 700 taka, bersamaan RM36.14 sebulan! Setiap kali anda mengeluh kerana kerja yang terlalu menekan dan menyusahkan, percaya atau tidak jika tugas mengkehendaki anak-anak di Bangladesh ini mengangkat batu bata, setiap 1,000 bata yang berjaya dialih ke lokasi dikehendaki, mereka baru menerima upah RM3.20!

Ya, tentulah tidak adil jika saya menyamaratakan PhD, masters atau ijazah yang anda perolehi dengan kanak-kanak belasahan ini, tetapi sekurang-kurangnya, tidakkah anda (dan kita semua) mahu rasa sedikit bersyukur?

Sinar Harian/7 minit/14 okt 2009

Sekadar koleksi (1)

Mendidik anak menjadi lebih bersyukur

Sepanjang Hari Raya Aidilfitri ini, bersempena pula dengan jumlah cuti yang agak panjang, saya banyak menghabiskan masa membuat sedikit analisis dan imbasan sejarah keluarga. Walaupun adik-beradik saya sendiri tidak ramai, tetapi ada beberapa keluarga sebelah ibu dan ayah yang mempunyai anak-anak kembar. Tidak kurang juga sepupu-sepapat yang mempunyai bilangan anak cukup mengagumkan, mencecah 9-10 orang (walaupun si ibu baru berusia 30-an)!

Salah seorang daripada mereka merupakan abang sepupu yang agak rapat dengan saya. Saya memanggilnya Abang Man. Umur Abang Man baru mencecah 37 tetapi sembilan anaknya bersusun dari usia setahun hinggalah yang bergelar dara sunti. Betul, Abang Man pula bukan orang senang, dan pendapatannya sekadar hasil menjual kuih-muih yang dibuat isteri. Mereka berjualan dari petang ke malam di setiap pasar malam di bandar tempat saya berasal. Kesukaran hidup Abang Man bukan menjadi fokus saya, tetapi bagaimana dia dapat mendisiplinkan dan mendidik sempurna anaknya yang sembilan itu.

Sewaktu mereka datang berbondong-bondong ke rumah keluarga saya (kerana ayah saya abang sulung dan paling veteran dalam keluarga) pada hari raya pertama, saya teruja melihat ‘keseragaman’ dalam diri setiap anak Abang Man – bukan saja kerana mereka berbaju raya corak dan warna sama, malah tingkah laku yang agak senada dan sekata. Tersusun dan terdidik. Berhemah dan mempunyai santun yang tinggi.

Adik-adik yang kecil langsung tidak bising dan membuat kacau kerana si kakak sulung menjadi ‘jeneral kecil’ yang sentiasa memberi arahan dan memantau pergerakan mereka. Jangankan hendak memandai-mandai mengambil kuih sendiri, jika terasa haus pun mereka hanya berbisik kepada si kakak sebelum airnya dihulurkan. Usahkan hendak melompat ke sana sini atau memegang-megang barang unik yang menjadi perhiasan rumah, hendak duduk bersandar di sofa empuk rumah kami pun mereka nampak takut-takut. Risau ada kotoran di baju yang mungkin melekat. Mungkin juga kurang selesa untuk bersandar-sandar malas di rumah orang.

Sifat merendah diri itu saya saksikan berlarutan bila tibanya waktu ibu saya menghulur duit raya. Ya , tidak seperti sebahagian besar kanak-kanak lain yang ‘mendamba’ duit raya, anak-anak sembilan orang ini sudah cukup gembira dapat berhari raya dengan baju raya seragam itu. Mereka sudah sangat ceria dan bersyukur dapat makan kuih raya dengan air berkarbonat. Apatah lagi jika tuan rumah sudi menggoreng mi. Justeru bila dapat sampul raya hijau berisi wang, senyuman yang terukir di wajah sembilan kanak-kanak itu menjadi sangat lovely, nampak benar ikhlasnya, malah mereka memanjatkan kesyukuran berpanjangan dengan menerima sambil mencium lembut tangan ibu saya yang memberi.
Bukan ingin membanding, tetapi terdapat karakter dalam diri kanak-kanak lain yang saya saksikan sepanjang hidup ini agak menjengkelkan. Sesetengahnya meminta-minta duit raya daripada ibu bapa sebagai balasan berjaya menamatkan puasa sebulan. Lebih crucial lagi bila dibawa ke pasaraya, badannya akan sengaja ‘dijatuhkan’ ke lantai kompleks membeli belah itu, bersedia untuk membuat ‘demonstrasi’ kecil seperti berguling-guling atau menghempas-hempas badan – seperti satu ugutan pula – pilih sama ada ayah hendak malu dilihat awam, atau beli permainan yang diidam-idamkan. Lebih teruk lagi ada yang menetapkan amaun duit raya yang harus diberi oleh ibu bapa, atau datuk dan nenek di kampung, agak objektif mendapatkan barang idaman tercapai.

Letih meladeni karenah anak-anak moden zaman ini, bukan? Tetapi tidak ada yang mustahil kerana jika anak-anak sembilan orang itu boleh melakukannya, mengapa tidak anak-anak lain juga? Saya tidak menuding jari menyatakan ibu bapa yang mengajar dan membiarkan anak-anak mereka jadi sedemikian (demanding), tetapi benar, jika tidak melatih mereka melalui saat-saat susah dan getir dalam kehidupan, bagaimanakah mereka mahu belajar bersyukur dengan apa yang sudah ada?

Saya bukan prejudis anak-anak generasi baru tetapi pada pandangan saya, untuk menjadikan sesuatu, maka kita harus menunjukkan jalan dan caranya. Malah sentiasa mengutus doa kepada Allah agar membuka hati anak-anak juga satu cara terbaik.

Saya antara seorang daripada berjuta-juta anak-anak degil, cengih dan tidak simpati pada ibu bapa sebelumnya. Namun, berkat doa berterusan ibu ayah, hati saya yang keras mula mencair. Ya, melihat wajah ibu saya yang mempunyai pandangan sangat redup, wajah berkerut tua yang masih menawan, dia kelihatan begitu suci sekali.

Setiap kali menatap wajahnya, saya seperti tidak keruan memikirkan betapa banyak perkara yang dia mahu saya lakukan, tetapi malangnya masih belum berjaya dilaksana dengan sempurna oleh saya. Namun sekurang-kurangnya, dia telah menjadikan saya seorang yang sangat bersyukur dengan apa yang saya miliki kini.

Sinar Harian/7 minit