This is what I finally came out with:
Dunia Muzik Rini dan Reza
Siri 1: Rini, Reza dan Risya
Oleh: Delly Adesuwa
PENGENALAN: Dunia Muzik Rini dan Reza (DMRR) adalah berkisar kisah remaja tingkatan 1 di Sek. Men. Keb Sri Melati, Kuala Lumpur. Ia menggarap cerita tentang persahabatan, kasih sayang, kesetiaan, dendam, cemburu, sayang dan benci yang bergolak dalam jiwa mereka yang sedang dalam peralihan daripada alam kanak-kanak ke alam remaja. DMRR membawa kamu ke dunia remaja yang berbumbungkan fantasi dan beralas realiti!
“Aku tak boleh bawalah lagu ni. Serius!!” Rini menghenyak dirinya ke sofa baldu di bilik muzik itu. Mukanya masam mencuka. Terasa ingin dibaling-baling mikrofon yang digenggamnya. Sekilas direnungnya wajah Reza. Ah, menyampah!
“Sabar…cuba lagi. Kau mesti boleh nyanyi, aku yakin kau boleh. Tak ada ‘note’ tinggi pun, kau boleh sampai ‘pitching’ yang biasa kau buat. Senang aje…jom kita cuba sekali lagi. Semalam kau ok je…” pujuk Reza. Dia merenung Rini, kemudian beralih kepada Suzie, sahabat mereka yang memang hebat bermain piano. Reza memberi isyarat untuk Suzie meneruskan petikan pianonya apabila tiba-tiba Rini menjerit kuat.
“Tidak!! Aku nak tarik diri! Aku tak mahu masuk pertandingan ni lagi!,” Sambil menangis teresak-esak, Rini berlari meninggalkan Reza dan Suzie. Mikrofon dihempaskan ke lantai. Pintu bilik muzik dikuaknya, lalu dihempas kuat.
Reza dan Suzie saling berpandangan. Reza mengangguk perlahan. Jari-jemarinya diketapkan. Dalam hati dia menanam tekad, Rini tetap akan membawakan lagu ini bersamanya di Malam Muzik Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Melati nanti. Tidak boleh tidak!
*****************************
“Biar benar! Betul ke apa yang kau cakap ni?” mata Mat Pezal sengaja dibesarkan, tidak berkelip-kelip. Dia benar-benar ingin tahu yang perkara itu betul-betul berlaku.
“Betul, Rini tak jadi masuk Malam Muzik nanti! Suzie yang cakap dengan aku. Reza dah pening kepala nak cari pengganti. Ha..ha…akhirnya nanti dia pasti melutut kat aku dan merayu-rayu agar menyanyi duet dengan dia! Baru padan muka Reza! Puas rasa hati aku!!” Risya berkata angkuh sambil ketawa kuat-kuat. Kuih karipap di dalam mulut dikunyah cepat-cepat. Mat Pezal pula menggeleng-geleng kepala tidak percaya.
“Baru semalam aku tengok mereka berlatih elok je bersama. Kau tahu ke kenapa tiba-tiba Rini menarik diri?, tanya Mat Pezal lagi, tidak puas hati.
“Ah si Rini tu! Dia ingat dia tu penyanyi hebat sangat ke? Memanglah dia tarik diri, dia tak boleh bawa lagu gubahan cikgu Ronald tu. Lagu tu kan susah? Lagu pitching tinggi macam tu sesuai dibawa orang-orang bersuara soprano macam aku je..ha..ha..ha!!!” Risya menghambur tawa lagi. Karipap yang sedang dikunyahnya tersembur keluar, hampir terkena muka Mat Pezal.
“Apa? Suara soprano macam siapa?? Macam kau??? Ha..ha..ha….Suara kau bukan suara soprano, suara itik tertelan sudu adalah!” balas Mat Pezal pantas lalu terus melarikan dirinya jauh dari kantin sekolah. Takut dikejar Risya yang memang dikenali sebagai ‘singa betina’ di Sekolah Sri Melati.
Risya mengetap bibir. Hatinya terkandung dendam yang menanti masa untuk meletus. Ingatannya melayang kepada kejadian dua hari lepas di bilik muzik sewaktu Rini sedang berlatih. Waktu itu Reza dan Suzie tiada bersama.
*******************************
“Aku tak percayalah apa yang kau cakap ni. Setahu aku Reza tak begitu. Dah lama aku berjiran dengan dia, aku dah masak sangat perangai Reza,” kata Rini kepada Risya. Wajahnya yang lembut ayu, dan kata-katanya yang halus bersopan menyebabkan darah Risya semakin mendidih. Risya cuba masuk jarum lagi.
“Betul. Reza sendiri yang bagitau aku. Baru tadi dia cakap. Dia yang suruh aku bagitau kau. Dia tak nak kecilkan hati kau. Dia kata suara kau macam lang…lang…”
“Macam ‘lang’ apa?”
“Langsuir mengilai!”
“Apa?!!!!” terjerit kecil Rini sewaktu Risya memberitahunya perkara itu. Tidak, tidak mungkin Reza sanggup memburukkannya sekejam itu!
“Betul, Reza nak aku yang nyanyi ‘part’ kau. Cikgu Ronald pun dah setuju. Cikgu Ronald kata, kalau kau nak jugak, kau boleh jadi back-up vocalist untuk kami. Lagipun, semenjak mereka tukarkan aku dengan kau, mereka tengok kau tak serasi dengan lagu ni. Tapi cikgu dengan Reza malulah nak tarik balik, kan…nanti kau kecil hati…jadi mereka suruh aku cakapkanlah….” tegas Risya. Wajahnya terpancar rasa simpati, tetapi dalam hati bersorak-sorak keriangan!
“Takpelah Risya…kalau cikgu Ronald dah cakap macam tu, maknanya suara aku memang teruk la. Terima kasih sebab bagitau aku…,” luah Rini tenang. Perlahan-lahan dia keluarkan sapu tangan daripada poket baju kurung sekolahnya dan menyeka air yang mula berkaca di kelopak mata.
“Ah..Reza...sanggup kau….!”
Air matanya menitis satu-satu!
*****************************************
Reza menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tidak senang duduk, dia berdiri. Kemudian berjalan-jalan mengelilingi ‘courtyard’ dalam rumahnya itu. Puas difikir-fikir, direnung-renung perkara yang menyebabkan Rini bertukar fikiran. Mengapa? Mengapa? Mengapa?!
Pertandingan nyanyian di Malam Muzik cuma tinggal lagi dua minggu, dan latihan yang dijalaninya sepanjang minggu lepas memang sangat memberangsangkan. Rini dirasakan pasangan duetnya yang paling serasi, tidak seperti Risya. Rini senang dibentuk, dia mudah ikut arahan Cikgu Ronald. Dia juga kreatif, sering buat ‘ad-lib’ sendiri untuk lagu nyanyian mereka itu. Cikgu Ronald sendiri pernah berkata dia amat berbangga kerana Reza dan Rini akan menjadi wakil seluruh pelajar tingkatan 1 untuk Malam Muzik itu nanti.
Risya pula pantang ditegur, dia akan mengamuk sambil menghempas apa sahaja di tangannya. Kepala cikgu Ronald sendiri hampir terkena buku nota muzik yang dibaling Risya apabila dia mengamuk ketika ditegur kerana tidak mahu berlatih membuat latihan teknik bubbling di kelas muzik.
Tersentak seketika apabila telefon Nokia 8250nya berdering. Lamunannya terhenti seketika.
“Kenapa Pezal?”
“Reza!! Cepat datang sekolah Reza!! Kat kelas muzik! Rini pengsan kat kelas muzik!”
(bersambung……)
begitulah adanyerrr.....




















